Kerusi Parlimen
Kerusi Dun
BERJAYA namun kecundang!
 
Mungkin strategi 'winnable candidates' yang dicanangkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak menjadi dan silap percaturannya. 
 
Walaupun BN berjaya membentuk kerajaan Pusat, namun jumlah kerusi yang dimenangi nyata merosot berbanding PRU lalu. 
 
BN menang 133 kerusi, berbanding 2008 dengan 140 kerusi. 
 
Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk selepas 2008, pula walaupun berjaya menambah sembilan bilangan kerusi kepada 89 kesemuanya, kekecewangan kalangan pimpinan dan penyokong apabila impian ke Putrajaya tidak kesampaian. 
 
Walaupun ramai yang menyebut Pilihan Raya Umum-13 (PRU13) adalah "peperangan" untuk pengundi Cina yang inginkan perubahan namun kemaraaan mereka masih gagal merobohkan benteng Umno-BN di Putrajaya. 
 
Analisis awal pemerhati mendapati, Melayu bandar juga menolak BN sama seperti pengundi Cina. 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggambarkan PRU13 sebagai "tsunami masyarakat Cina". 
 
Mujur Sabah dan Sarawak banyak membantu memenangkan BN di peringkat Persekutuan seterusnya membentuk semula kerajaan. 
 
Selain daripada kejutan beberapa nama-nama besar terutama dalam BN yang tewas dalam PRU kali ini, negeri yang dijangka dirampas kembali oleh parti itu berjaya menjadi kenyataan. 
 
Kedah yang pada 2008 ditawan Pas kini kembali di bawah BN sekaligus meniupkan persepsi,anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menjadi menteri besar menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
 
Bagaimanapun tiga negeri lain di bawah PR - Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sukar diganggu-gugat oleh BN.
 
Meskipun begitu,empat Menteri Kabinet tewas dalam PRU kali ini.
 
Mereka ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Benard Giluk Dompok.
 
Mengejutkan juga apabila bekas Menteri Besar Johor tewas di tangan pemimpin DAP dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam kalah kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Parlimen Bukit Katil. 
 
SPR semalam mengesahkan lebih 80 peratus pengundi seluruh negara keluar mengundi sehingga jam 5 petang.
 
Peratusan paling tinggi yang dicatatkan setakat ini. Jumlah pengundi berdaftar bagi PRU13 ialah 13.3 juta. 
 
Walaupun dilaporkan beberapa insiden seperti tertangkapnya beberapa pengundi "hantu" di beberapa pusat pembuangan undi, isu dakwat kekal yang tidak kekal, namun secara purata proses pilihan raya semalam berjalan lancar. 
 
Seratus hari bermula hari ini, negara sekali lagi bakal menyaksikan pelbagai peristiwa penting dalam proses pentadbiran negara. 
Semoga segalanya berjalan lancar dan diharap agar hari ini dan masa hadapan, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih baik


petikan dari Sinarharian edisi 6/5/13