Tidak dinafikan, segmen motosikal 250cc mengalami banyak kelohongan penawaran model baru sejak sekian lama. Hampir dua dekad ia dikuasai oleh Kawasaki dengan model Ninja 250nya. Segmen berkenaan juga turutcuba ditembusi oleh Naza Blade 250 berenjin V-kembar.
Malah, tindakan Kawasaki menurun-tarafkan enjin 250cc syarikat itu daripada empat lejang kepada hanya dua lejang juga menimbulkan tanda tanya pada awal pengenalan model berkenaan.
Kini Honda pula tampil dengan model CBR250R yang dikatakan mampu memberikan cabaran sebenar kepada Ninja ‘kecil’ itu, dengan menawarkan enjin satu selinder.
Dominasi pasaran oleh Kawasaki dalam segmen ini sekian lama tidaklah begitu sukar difahami. Ninja ’kecil’ sememangnya merupakan pilihan yang logik bagi mereka yang ingin menaik-taraf tunggangan secara perlahan tanpa menjebakkan diri terus ke dalam segmen motosikal berkuasa tinggi yang melebihi 500cc. Malah masih terdapat kekosongan penawaran motosikal bagi segmen 250cc ke 600cc, yang memangkinkan pengimportan dan kemasukan Honda CB400 yang begitu popular di negara jiran.
Justeru model Honda CB250R amat dinantikan oleh peminat motosikal tempatan, terutamanya penggemar jenama Honda yang sekian lama menguasai pasaran empat lejang sejak ia mula diperkenalkan lagi.
Di dalam era kini di mana keutamaan diberikan bagi motosikal pengangkut yang mampu digunakan bagi tujuan ke tempat kerja, tetapi pada masa sama boleh juga digunakan sebagai tunggangan mengujakan tanpa perlu ke litar, motosikal suku-liter sebegini adalah satu lagi pilihan yang boleh diterima akal.
Rupa
Reka bentuk CBR banyak menjurus kepada ‘abang’nya iaitu model VFR1200F dengan penampilan gemuk di hadapan dan garis badan sisi yang menarik. Walaupun ada yang mengatakan ia agak membosankan, ia diimbangi pula oleh bahagian ekor yang begitu menarik.
Ninja 205R pula kekal dengan penampilan sporty ala motosikal besar yang agak luas dan selesa, malah tampak lebih ‘mahal’ berbanding susun letak CBR250R yang lebih kompak, kecil tetapi lebih mudah ditunggang dengan berat yang 5kg lebih ringan dan tapak (wheelbase) yang lebih pendek. Ini membuatkan Ninja jelas bersaiz lebih besar diantara keduanya. Honda kekal dengan konsep saiz kecil seperti yang pernah dilakukannya dengan CBR150R yang nyata lebih kecil berbanding Yamaha FZ150i mahupun Kawasaki Kips 150 ketika itu.
Untuk kegunaan harian, ergonomik dan keselesaan tunggangan adalah penting dan kedua-duanya memenuhi kehendak sebegini, walaupun penunggang yang bersaiz besar akan merasa pelik menunggang CBR. Keluasan Ninja dengan skrin penampan angin yang lebih besar membuatkan ia lebih sesuai untuk perjalanan jauh. Tetapi saiz CBR yang lebih comel memberikan ia kelebihan dalam tungangan bandar.
Ini merupakan ciri yang lebih relevan kepada kebanyakan pengguna Malaysia. Ninja akan lebih digemari mereka yang suka menunggang jauh dari bergaya ke tampat kerja. Kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri dalam cara masing masing.
Teknikal
Secara amnya, Ninja nyata mempunyai kelebihan teknikal dengan enjin dwi-silinder yang menjana kuasa yang lebih tinggi lantas membolehkan ia melampaui kelajuan 160kmj. Namun begitu, CBR akan mampu menyainginya terutama sekali dalam tunggangan bandar, dengan kelebihan torknya sebanyak 23.8Nm berbanding 22Nm bagi Ninja.
Kuasa pecutan pula agak sama bagi kedua-duanya dan dalam keadaan tunggangan urban, ia lebih bergantung kepada keadaan jalan raya dan tiada perbezaan nyata dalam prestasi keduanya. Lain pula kisahnya apabila keluar ke lebuhraya, di mana Ninja akan mempunyai kelebihan yang agak ketara dan lebih selesa dari segi kelancaran enjin dua silindernya berbanding CBR yang akan mengaum tinggi dengan enjin satu silindernya.
Perbezaan rasa dalam tunggangan juga merupakan satu lagi ciri perbandingan kedua-dua model ini. Larasan suspensi Ninja tampak lebih sedap dalam hampir semua keadaan. Suspensi CBR adalah agak selesa bagi menangani kehendak penggunaan biasa, tetapi agak lembut dan membuai jika menangani selekoh pada kelajuan tinggi dan perlu dilaras keras. Namun ini akan membuatkan ianya tidak selesa bagi tunggangan biasa.
Keseluruhan/Umum
Paparan meter CBR nyata lebih menarik dengan penampilan digital penuh, dan ia dilengkapi dengan sebuah jam penunjuk waktu. Ninja masik dengan paparan analog yang mungkin membosankan bagi sebuah motosikal setelah lebih sedekad kita memasuki milineum baru.
Ninja juga tidak mempunyai suis lampu tinggi berasingan kegunaan sewaktu memotong kenderaan lain, dan pelana CBR juga dirasakan lebih selesa berbanding Ninja, tetapi sebaliknya pembonceng anda akan lebih suka membonceng Ninja berbanding CBR yang berpelana lebih kecil. Ruang penyimpanan di bawah pelana bagi kedua dua motosikal ini boleh dikatakan tiada, tetapi Ninja menyediakan empat cangkuk ikatan berbandng CBR dengan hanya dua pada pemijak belakang.
Namun begitu, keselesaan dan binaan keseluruhan Ninja dirasakan lebih kemas dan lasak berbanding CBR. Mungkin ada yang mengatakan ia lebih murah berbanding Ninja, namun begitu persoalannya adakah berbaloi mengeluarkan sedikit lagi jumlah wang untuk mendapatkan jentera yang lebih mantap? Ketahanan enjin juga merupakan satu lagi ciri yang akan ditentukan oleh masa. Ada teori yang menyatakan semakin kurang bahagian bergerak, semakin kurang silindernya, sekali gus mengurangkan kos penyenggaraan.
Tetapi enjin satu silinder juga bergerak pada rpm lebih laju berbanding enjin dua silinder, dan ini akan meningkatkan tahap kehausan sekiranya tidak dijaga rapi. Honda mungkin mampu menyalurkan semangat dan teknologi Moto3 dalam MotoGP kemudian hari apabila ia mula diperkenalkan bagi menggantikan kelas 125cc tahun hadapan, dan kelas ini tentunya akan mempunyai pengikut di kalangan pemilik CBR yang tersendiri.
Honda cuba menembusi pasaran 250cc ini dengan baik, dan CBR250R hampir mampu memenuhi kehendak pasaran. Namun, pengalaman Kawasaki dengan Ninja 250R dalam segmen ini nyata belum begitu tergugat sebagai sebuah motosikal kegunaan komuter dan juga jarak jauh. Kedua-duanya memang mempunyai kelebihan tersendiri, dan ia bergantung kepada kehendak dan juga saiz badan penunggang.
Bagi mereka yang bersaiz kecil mungkin akan merasa lebih selesa dengan CBR250R, yang juga akan mampu memberikan kepuasan menunggang kerana berat badan penunggang yang lebih ringan. Pun begitu, kedua-dua model motosikal ini amat dialu-alukan bagi mereka yang menginginkan segmen peralihan sebelum menaik-taraf ke jentera yang berkuasa lebih tinggi. - Salihin Rahim, 19 Ogos 2011.
———————2011 Honda CBR250R Kawasaki Ninja 250R
Enjin: 249cc satu silinder 249cc dua silinder sebaris
Kuasa
Enjin: 249cc satu silinder 249cc dua silinder sebaris
Kuasa
maksimum: 26. 2 bhp@8,500 rpm 36bhp@11,000 RPM
Tork
Tork
maksimum: 22.9 Nm@7,000 rpm 21.7Nm@10,000 RPM
Berat: 162kg 169kg
Berat: 162kg 169kg
No comments:
Post a Comment