Assalamualaikum...lama bebenor teman menyepi,2016 jejaki dengan cabaran dari sudut ekonomi dan kos sara hidup yang kian mencabar...kali niie sekadar berkongsi kereta Legend kita Lasak&Ekonomi .
Generasi Kereta Perodua
Perodua adalah syarikat kereta Malaysia yang kedua selepas Proton. Dilancarkan pada 27 Ogos 1994, kilangnya terletak di tapak seluas 80 hektar di Sungai Choh, Serendah, Selangor. Nama Peroduamerupakan singkatan untuk “Perusahaan Otomobil Kedua”.
Berikut adalah ringkasan kereta keluaran Perodua mengikut tahun :
1 – Perodua Kancil (Perodua Nippa, 1994-2009)
Perodua Kancil (dikenali sebagai Perodua Nippa di pasaran United Kingdom dan Daihatsu Ceria di pasaran Indonesia) merupakan sebuah kereta kecil yang pertama dikeluarkan oleh Perusahaan Automobil Kedua (PERODUA).
Perodua Kancil merupakan kereta keluaran pertama PERODUA sejak dilancarkan pada 1994. Ia mempunyai 4 pintu dengan keluasan 5 tempat duduk. Perodua Kancil ke-50,000 dilancarkan pada 1996. Perodua Kancil ke-100,000 dilancarkan pada 1997. Perodua Kancil ke-250,000 dilancarkan pada tahun 1999. Tetapi, penjualan Perodua Kancil berhenti pada 2009 dengan penjualan 722,223 buah, dan ia telah bertukar kepada Perodua Kelisa.
Kancil merupakan model paling popular terutama kepada pemandu baru dan wanita serta paling banyak digunakan oleh sekolah memandu. Ia kecil, kompak dan menjimatkan dari segi bahan api (RM 10.00 untuk kira-kira 100 kilometer).
Kancil mempunyai 3 model berbeza:
- Kancil 660EX – enjin 3 silinder sebaris 659cc menggunakan karburetor, berkuasa 31 hp (22.8 kW), transmisi manual 5 kelajuan, bumper hitam serta jalur pintu.
- Kancil 850EX- enjin 3 silinder sebaris 847cc menggunakan karburetor, berkuasa 37 hp (27.8 kW), transmisi manual 5 kelajuan, bumper berwarna serta jalur pintu.
- Kancil 850EZi- enjin 3 silinder sebaris 847cc menggunakan suntikan bahan api, berkuasa 50 hp (36.7 kW), transmisi automatik 3 kelajuan, bumper berwarna serta jalur pintu.
2 – Perodua Rusa (1996)
Perodua Rusa ialah sebuah mikrovan dan MPV pertama Perodua. Rekaannya diambil dari model Daihatsu Zebra dan Daihatsu Hijet Maxx. Pelancaran pertama pada tahun 1996 Perodua Rusa 1.3CX (model biasa 2 tempat duduk enjin 1.3 liter. Pada tahun 1997, dilancarkan Perodua Rusa 1.3 GX (7 tempat duduk enjin 1.6 liter).
Nama rusa berasal daripada nama seekor binatang yang mempunyai tanduk bercabang. Sebelum digantikan dengan lambang Perodua, lambang asal van ini adalah gambar rusa melompat. Selepas itu, Perodua Rusa dikeluarkan lagi dengan versi facelift dimana terdapat perubahan pada grill, rim baru dan lampu belakang yang diletakkan ‘reflecting tape’.
3 – Perodua Kembara (1998-2008)
Perodua Kembara merupakan kereta pacuan empat roda (ASR) berasaskan model Daihatsu Terios. Ia dikuasakan enjin 1.3 liter dan transmisi manual 5 kelajuan, automatik 4 kelajuan Pacuan Empat Roda Sepenuh Masa (AWD). Pada Tahun 2003 model ini dilengkapi sistem DVVT. Produksi model ini berakhir pada tahun 2008 dan digantikan dengan Perodua Nautica yang juga berasaskan model Daihatsu Terios yang terbaru.
4 – Perodua Kenari (2000)
Perodua Kenari merupakan kereta keempat keluaran Perodua. Ia merupakan sebuah kenderaan MPV dengan 5 tempat duduk. Kenari mempunyai enjin 989cc, 3 silinder dan mampu mencapai kelajuan sehingga 88mph. Mengambil rekaan daripada Daihatsu Move L900.
Pada tahun 2003, Perodua Kenari facelift dilancarkan dengan lampu depan berkembar yang ternyata lebih menarik dan bergaya.
Pada tahun 2004, versi Aerosport dengan rupa bentuk sporty dan dihiasi bodykit penuh dilancarkan. Lampu belakang model itu juga diubah kepada rekaan baru yang lebih menawan. Walaupun enjin masih sama, bahagian dalaman dan luaran versi facelift Aerosport ini diakui antara yang paling menarik dan sporty.
Pada tahun 2007 pula keluar versi Kenari RS yang menampakkan perubahan pada bahagian bumper hadapan dan kedudukan lampu lebih menarik dari model asalnya di Jepun iaitu Daihatsu Move Custom. Versi RS tampil dengan imej lebih sporty di mana bumper depan dan belakang adalah berbeza dari model sebelumnya dan bahagian depannya dilengkapkan dengan empat buah lampu. Model RS hanya tersedia transmisi automatik sahaja.
5 – Perodua Kelisa (2001-2007)
Perodua Kelisa merupakan kereta kompak based pada Daihatsu Mira fifth-generation dari model Daihatsu Mira L700 Coure. Perodua Kelisa dilancarkan oleh Perodua pada tahun 2001 dan pengeluarannya berakhir pada tahun 2007.
Enjin bersesaran 1.0 liter juga tangkas ketika dipandu serta mampu memecut sehingga 160km/j. Varian 850cc juga terdapat pada Perodua Kelisa namun kurang menjadi pilihan pembeli. Antara yang sering menjadi sebutan tentang kelebihan Perodua Kelisa ialah penggunaan petrolnya yang dikatakan cukup menjimatkan. Rata-rata pemilik Kelisa memuji kenderaan mereka yang menjimatkan minyak.
Perodua Kelisa diakui sebagai sebuah model yang tahan lasak dan kurang memberikan masalah kepada pemiliknya. Kos penyelenggaraan Perodua Kelisa juga rendah dan kereta ini sesuai untuk mereka yang mempunyai bajet kecil. Pada tahun 2005 Produa Kelisa telah membuat penambahbaikan pada bahagian grill hadapan , bumper dan sedikit pada bahagian lampu signal yang lebih menarik menerusi Perodua Kelisa SE.
6 – Perodua MyVi (2005-kini)
Perodua Myvi ialah model kereta hatchback supermini/subpadat buatan pengilang kereta Malaysia, Perodua sejak tahun 2005. Myvi yang berasaskan Daihatsu Sirion/Boon generasi kedua dan Toyota Passo ini merupakan hasil usahasama Perodua dengan Toyota dan Daihatsu. Myvi merupakan kereta yang terlaris selama lima tahun berturut-turut mulai tahun 2006 hingga 2014 di Malaysia.
Generasi Pertama (2005-2011)
Kelengkapan Kereta Myvi terdiri daripada lima variasi: 1.0SR (manual 5 kelajuan), 1.3SX (manual 5 kelajuan), 1.3EZ (auto 4 kelajuan), 1.3SXi (manual 5 kelajuan), dan 1.3EZi “Premium” (auto 4 kelajuan). Juga terdapat Myvi “Edisi Khas” yang berciri bodykit yang terdiri daripada bampar yang terubah suai, skirt sisi dan spoiler. Myvi juga tersedia dengan sepasang beg udara dan ABS.
Myvi dikilangkan dalam warna-warna Ebony Black, Olive Green, perak, jingga, emas, merah, perak dan putih. Rupa baru 2008 menampilkan pilihan wanra baru yang terdiri daripada Medallion Grey, Ivory White, Pearl White, Klasik Gold, Mistik Red, Ebony Black, Caribbean Blue dan Glittering Silver.Perodua Myvi SE terdapat dengan wanra Ivory White, Ebony Black, Glittering Siver, Pearl White dan Tangerine Orange yang eksklusif untuk Myvi SE.
Prestasi dan rekabentuk
Prestasi dan rekabentuk
Dalam Kereta Myvi terpasang satu daripada dua enjin empat lejang yang terdingin air daripada Daihatsu Sirion generasi pertama: enjin Ej-VE 1.0 liter dengan tiga silinder sebaris, atau Toyota Passo: enjin K3-VE 1.3 liter dengan empat silinder sebaris; kedua-dua sistem DVVT serta pancitan bahan api elektronik (EFI).
Selain prestasi kasar, terdapat ciri-ciri yang sebelum ini jarang terdapat dalam kereta Perodua yang diturunkan oleh Sirion kepada Myvi, antaranya pemancit 4 lubang, uretana berbusa yang diinjek ke dalam A-pillar, centre pillar dan B-pillar untuk menebat hingar, sistem pelumpuh dan binaan badan pengurang kecederaan pejalan kaki. Antara ciri-ciri lain pula ialah kawalan aliran udara rangka bawah, pancarongga pengambilan resin dan penutup kepala yang disepadukan dengan peti pembersih udara (untuk enjin 1.0) dan roda tenaga yang anjal untuk mengurangkan getaran semasa berjalan (untuk transmisi manual).
Versi 2008
Pada 22 Ogos 2008, Perodua Myvi versi baru dilancarkan dengan menampilkan perubahan pada kekisi depan, bampar depan, bonet, bampar belakang, rim aloi, warna dan reka bentuk papan pemuka, pemain MP3/WMA dan fabrik tempat duduk. Model 1.3 Premium pula turut dilengkapi kaca perlindungan UV yang baru, pelaras ketinggian tempat duduk, dan juga sistem audio baru dengan ciri-ciri USB dan Bluetooth. “Edisi Khas” Perodua Myvi SE baru ini juga dilancarkan pada 10 Oktober 2008 dengan bampar yang baru, lampu belakang yang jernih, lampu puncak gelap, papan pemuka ambar, tempat duduk kulit, dan pemain cakera padat 2-DIN dengan sokongan MP3, WMA, USB dan Bluetooth sebagai ganti unit bersepadu. Ia hanya terdapat dengan enjin 1.3L dengan transmisi manual atau automatik.
Sambutan
Pelancaran Perodua Myvi menandakan kali pertama Perodua bersaing sengit dengan Proton, pembuat kereta kebangsaan Malaysia yang pertama yang memperkenalkan Proton Savvy yang setanding kelasnya ketika itu. Myvi 1.3 mengetepikan saingan Proton Savvy 1.2, untuk menjadi “Car of the Year 2005/2006” oleh majalah tempatan Autocar ASEAN. Akhbar kewangan tempatan The Edge Daily melaporkan bahawa jualan Myvi jauh melampaui jangkaan awalnya dan menerima sambutan yang amat hangat semenjak diperkenalkan pada bulan April. Proton Savvy yang mulai dipasarkan beberapa bulan selepas keluarnya Myvi tidak menjejaskan jualan Myvi. Setelah mengambil kira permintaan yang besar untuk Myvi, penjualan kenderaan dan bahagian pasaran Perodua naik mendadak pada tahun 2006.
Ulasan
Richard Hammond, seorang pengacara Top Gear di BBC, memandu uji sebuah kereta Myvi, dan nampaknya berasa kagum. Ulasnya, walaupun mencedok Daihatsu Sirion, namun reka bentuknya diubah sedikit supaya nampak lebih cantik dan berbaloi untuk kereta berharga bawah £7,000 kerana mampu berjalan 50 batu segelen dan mudah dikawal seperti Toyota Yaris. Bagaimanapun, rakan sejawat Hammond dalam Top Gear, Jeremy Clarkson tidak berkenan dengan brek, pemanduan, tempat duduk dan dalaman sehingga mengulas bahawa “inilah kereta untuk dipandu dengan muka masam”. Kajian oleh J.D. Power & Associates pada tahun 2009 menyaksikan kereta MyVi menduduki tempat teratas kerana mutu awalnya dari segi pemilikan kenderaan baru dalam kategori kereta padat.
Generasi kedua (2011-kini)
Perodua Myvi 2011 dilancarkan pada 16 Jun 2011.
Kelengkapan
Perodua Myvi 2011 terdapat dalam tiga perapi untuk 1.3 liter iaitu Standard, Premium dan Elegance, dan dua untuk 1.5 liter iaitu Special Edition dan Extreme. Kesemuanya tersedia dengan transmisi automatik empat kelajuan dan manual lima kelajuan. Semua kereta model ini tersedia pasang beg udara duaan. ABS dan EBD terdapat pada varian Premium dan Elegance. Lampu kabut juga terdapat untuk varian Premium dan Elegance. Varian Standard pula ada rim keluli dengan pelitup manakala varian lain mendapat rim aloi. Kemudi Kuasa Elektronik sudah dipasang di semua kereta. Batang transmisi automatik dialihkan kepada dekat papan pemuka seperti Perodua Alza. Dalam varian Elegance sahaja tersedia sistem navigasi DVD berskrin sentuh 6 inci 2-DIN bersepadu dengan peta yang disumbangkan oleh Telekom Malaysia, di samping pemegang pintu krom dan kit badan yang berbeza. Myvi terdapat dalam enam warna, lima daripadanya metalik iaitu Ebony Black, Glittering Silver, Medallion Grey, Pearl White dan rona baru Mystical Purple; serta satu warna padu iaitu Ivory White.
Prestasi dan keselamatan
Myvi 2011 dikuasakan oleh enjin K3-VE 1.3 liter dengan DVVT serta EFI. Walaupun sama enjinnya dengan generasi terdahulu, namun Perodua mengaku kenaikan 4HP dalam Myvi 2011 kerana kemudi kuasa elektronik (EPS) yang membolehkan Perodua untuk menyalurkan kuasa tambahan untuk meningkatkan kuasa kuda. Terdapat rangkaian kuasa automatik 4 kelajuan dan manual 5 kelajuan; kedua-dua transmisi ini memindahkan kuasa enjin kepada roda depan. Pada bampar belakang ada liang udara yang mengurangkan masalah kepakan. Beg udara SRS terpasang dalam semua kereta, maka Myvi merupakan kereta nasional pertama yang dipasang sedemikian. Tali sawat tengah tempat duduk belakang bertukar dari sekadar riba menjadi ELR tiga sudut. ISOFIX juga menjadi piawaian untuk semua Myvi 2011 untuk pemasangan tempat duduk kanak-kanak.
7 – Perodua Viva (2007-2014)
Perodua ViVA telah dilancarkan pada 10 Mei 2007. Asalnya dirancang sebagai pengganti Perodua Kancil dan Perodua Kelisa, kereta kompak ini cuma dipasarkan untuk menggantikan Kelisa sahaja, manakala Kancil akan terus dijual. Perodua ViVA ini direka berdasarkan generasi keenam Daihatsu Mira. Semua versi enjin yang digunakan – 660cc, 850cc dan 1,000cc – menggunakan enjin DVVT Daihatsu.
‘Viva’ merupakan istilah bahasa Latin yang bermakna ‘Untuk Hidup’ dan ia sering menjadi ungkapan penghormatan yang juga bermakna ‘Selamat Panjang Umur’. Model Viva adalah pengganti kepada model popular Perodua iaitu Kelisa. Harga atas jalan Viva ialah antara RM28,400 hingga RM43,800 sebuah dan ditawarkan dalam lima pilihan warna. Isian penuh tangki kenderaan boleh memuatkan 36 liter petrol.
Bagi kereta dengan keupayaan enjin 660cc dan 850cc, Viva menggunakan sistem transmisi manual lima kelajuan. Kereta dengan enjin 1,000cc pula dibahagikan kepada dua iaitu “Standard” dan “Premium”. Bagi Standard SX dan Premium SXi, ia menggunakan transmisi manual lima kelajuan. Transmisi automatik empat kelajuan pula boleh didapati pada model Standard EZ dan Premium EZi.
Viva menggunakan enjin tiga silinder dan 12 injap yang dipertingkatkan dengan teknologi pemasaan enjin berjujukan injap dinamik (DVVT), aci sesondol atas kembar (DOHC) dan sistem minyak suntikan bahan api elektronik (EFI). Elemen EFI itu merupakan yang pertama seumpamanya dipasang pada kereta enjin 660cc dan 850cc dalam mana-mana model Perodua.
Kereta keupayaan enjin 1,000cc iaitu Premium dengan transmisi manual atau automatik juga menawarkan beg udara SRS berkembar. Varian Premium juga dilengkapkan dengan sistem brek anti kunci (ABS) dan Edaran Brek Elektronik (EBD). Antara ciri paling menonjol Viva ialah panjang ruang dalamannya iaitu 1,845 milimeter yang disifatkan terpanjang dalam segmen kereta kompak, sekali gus menjamin keselesaan penumpang.
Pergerakan keluar masuk juga mudah kerana keempat-empat pintunya boleh dibuka 90 darjah. Ciri-ciri tambahan lain ialah pengubah kedudukan kerusi, pemain audio CD, cermin sisi elektronik dan butang kawalan keempat-empat cermin (bagi keupayaan enjin 850cc dan 1,000cc sahaja).
Idea menghasilkan Perodua ViVA bermula pada 2005 membabitkan 124 vendor yang bekerjasama rapat dengan Perodua bagi mengeluarkan lebih 1,000 komponen secara tempatan. Hasilnya, Perodua ViVA mempunyai kira-kira 90 peratus komponen tempatan sepenuhnya, menjadikannya antara kenderaan yang paling tinggi kandungan tempatan setakat ini.
Perodua Viva telah ditamatkan pengeluarannya pada tahun ini (2014).
8 – Perodua Nautica (2008)
Perodua Nautica ialah sebuah kereta pacuan empat roda/SUV mini keluaran terbaru syarikat Perodua. Kereta ini menggunakan enjin jenis 3SZ-VE yang menggunakan empat silinder dan sistem suntikan bahan api (EFI). Tempahan ke atasnya mula dibuka bermula 10 Mei 2008.
Kereta ini merupakan kereta Perodua yang termahal berbanding yang lain (berharga RM89,000, dengan insurans) memandangkan bahagian-bahagian kereta dan ia sendiri datang serta dibuat di Jepun. Ia dengan itu dikenakan duti import.
Kereta ini sebenarnya merupakan Daihatsu Terios generasi kedua yang beberapa bahagiannya dibuat dan dipasang di Malaysia.
9 – Perodua Alza (2009-kini)
Perodua Alza merupakan MPV kompak dihasilkan oleh Perodua. Perodua menekankan Alza menjadi kereta pilihan bagi keluarga muda dengan anak-anak. Hal ini diadaptasi daripada Daihatsu Boon dan Toyota Passo Luminas Sette, melainkan menggunakan de-tuned 1.5 liter Toyota Avanza dan Daihatsu Terios. Alza berasal dari perkataan Sepanyol yang bermaksud ‘bangkit’.
Perodua Alza merupakan MPV yang paling jimat penggunaan bahan api setakat ini berbanding dengan MPV model lain. Ianya juga sesuai digunakan seharian kerana saiznya yang tidak begitu besar. Walau bagaimanapun Perodua Alza masih sesuai untuk perjalanan jarak jauh kerana keselesaan tempat duduknya. Walaupun menggunakan enjin berkapasiti 1.5 liter Perodua Alza masih mampu membawa penumpang yang ramai berbanding model MPV yang lain.
10 – Perodua Axia (2014)
Perodua Axia adalah kereta kompak lima pintu yang dihasilkan oleh Perodua. Ia merupakan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama Malaysia dan akan dilancarkan pada 15 September 2014. Nama ‘Axia’ disebut dengan bunyi ‘azia’ (a-zee-a) berasal dari perkataan Asia. Huruf ‘x’ dalam ‘Axia’ juga mewakili bilangan sepuluh mengikut nombor roman, menunjukkan Axia adalah model Perodua yang kesepuluh. Untuk model Axia ini Perodua menggunakan slogan “Your Smart Move” atau dalam versi Bahasa Melayu “Ternyata Bijak”. Info lanjut tentang Perodua Axia sila klik Harga Perodua Axia.
*artikel dari keretaperodua.com, terima kasih
No comments:
Post a Comment