Jom Baca

Saturday, May 7, 2011

Misi bercakap dengan Pokok-pokok




MISI HIJAU: Cinta Encik Hamid pada alam sekitar dicerminkan melalui kesungguhannya melaksanakan kerja sebagai ahli arbor bersama NParks. Beliau seolah-olah dapat bertutur dengan pokok kerana pemahamannya tentang kesihatan pokok-pokok dalam jagaannya




ISTIMEWA

'Bercakap' dengan pokok

TUGASNYA lasak dan sering diganggu peredaran cuaca. Seringkali juga beliau terpaksa kelam kabut menyimpan peralatan elektronik yang dipasang di pokok apabila hujan turun secara tetiba. Sesekali, beliau juga berdepan dengan bahaya. Beliau pernah hampir terjatuh ke dalam longkang yang kemudian disedarinya mengandungi seekor ular senduk. Namun, kesemua itu bukanlah cabaran besar bagi Encik Abdul Hamid Mohamed. Cabaran terbesar bagi beliau ialah bagaimana memastikan kesihatan pokok-pokok yang dibawah jagaannya. 'Pokok tidak boleh berkata-kata... macam mana ia hendak memberitahu kita tentang masalah yang dialaminya? 'Oleh itu, kita perlu pandai mentafsirkan keadaannya... dan keupayaan ini hanya timbul dengan pengalaman dan kesabaran untuk menambah pengetahuan tentang sifat pokok,' kata beliau. Beliau bukan tukang kebun, tetapi seorang yang dikenali sebagai ahli arbor, iaitu pakar profesional dalam penjagaan dan penyenggaraan pokok. Encik Abdul Hamid, yang diiktiraf Persatuan Arborikultur Antarabangsa (ISA), merupakan siswazah jurusan botani dari Universiti Nasional Singapura (NUS). Berbual-bual dengan beliau bagaikan menghadiri bengkel tidak rasmi mengenai ehwal pokok. Wajahnya sentiasa dihiasi senyuman. Ketua Bahagian (Streetscape) di Lembaga Taman Negara (NParks) ini sentiasa rela berkongsi pengalamannya lebih 25 tahun bekerja dalam jurusan ini. Encik Hamid, 51 tahun, merupakan salah seorang daripada lebih 100 ahli arbor di NParks. Bersama sekumpulan kakitangan lain, mereka bertanggungjawab menentukan sekitar 1.3 juta batang pokok di Singapura sentiasa sihat dan tidak membahayakan pihak awam. Bergantung pada saiz dan beberapa faktor lain, setiap pokok diperiksa setahun sekali atau setiap tiga tahun. Beliau sendiri memeriksa sekitar 500 pokok setahun, kata Encik Hamid. Katanya, walaupun mereka menggunakan peralatan canggih, seorang ahli arbor perlu memahami 'bahasa tubuh' sesuatu pokok itu. Encik Hamid sendiri tidak pernah jemu menambah ilmu pengetahuannya dalam bidang ini dengan banyak membaca dan membuat kajian sendiri dalam bidang yang amat diminatinya, hingga kadangkala beliau 'terlupa' keadaan di sekelilingnya. Sambil ketawa kecil, beliau menceritakan bahawa isteri dan tiga anaknya selalu menegur perbuatannya semasa mereka melancong. 'Mereka selalu mengadu... saya lebih banyak mengambil gambar pokok daripada gambar keluarga,' kata Encik Hamid. Beliau itu juga mempunyai pandangan unik terhadap pokok dalam jagaannya. 'Setiap haiwan bergantung pada tanam-tanaman untuk hidup, sama ada secara langsung atau tidak. Oleh itu kita perlu menghargai kewujudannya... atau sekurang-kurangnya menghormatinya,' kata Encik Hamid yang berkata beliau berasa bertuah dapat menceburi kerjaya yang amat diminatinya ini. 'Tidak ramai orang yang dapat memberitahu anak mereka bahawa mereka telah menanam dan menjaga pokok yang kita lihat di pinggir-pinggir jalan sekarang, 20 tahun yang lalu,' kata Encik Hamid, matanya bersinar.

  Cerita dari singapura.. ...begitu aneh-aneh dewasa ini,janji dia gembira dengan tugasnya.

No comments: